Peladang Setiu, Terengganu


Jumaat, 02 April 2010- 12.30 tengah hari

Peladang Setiu Agro Resort terletak 89 km dari Kuala Terengganu dan kira-kira 13 km dari Bandar Permaisuri, yang merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Setiu. Resort ini menekankan konsep agrotourism, menjadikan aspek pertanian sebagai tarikan utama pengunjung.

Memasuki pintu gerbang di sini, anda akan disambut deretan pokok kelapa sawit di kiri dan kanan. Di samping itu juga, anda dapat melihat keunikan chalet yang dibina bercirikan seni bina tradisional Melayu. Antara lokasi yang menarik terdapat di Peladang Setiu ialah Taman Herba. Anda boleh melawat Taman Herba yang ada disini. Ia menawarkan koleksi herba melebihi 120 spesies yang terdiri daripada gajah mengawan, serapat, kerbau amuk dan kacip fatimah. Kesemua herba-herba ini mempunyai khasiat yang tinggi dalam perubatan tradisional. Ketika di taman ini anda bukan sahaja dapat mengenal jenis-jenis herba dan manafaat herba ini, anda juga boleh membeli anak-anak pokok serta produk sedia ada untuk dibawa pulang.

Tidak lengkap kunjungan anda ke sini jika tidak meneroka keindahan hutan di Peladang Setiu. Pelbagai aktiviti riadah disediakan seperti merentas hutan, berkhemah, flying fox,obstacle course, rapelling dan banyak lagi. Sementara itu, kepada pengemar aktiviti air, ketika inilah anda boleh menunjukkan bakat anda dengan terlibat dalam aktiviti seperti river crossing, berkayak dan rafting di tasik agro. Bagi mereka yang memang kaki pancing, terdapat kolam memancing di sini yang menyediakan habuan enak seperti ikan jelawat, patintilapia dan rohu.

Apa yang lebih menarik lagi di sini, terdapat Taman Mini Unggas. Anda boleh bersama keluarga mendekatkan diri dengan haiwan eksotika tropika seperti kijang, burung merak, burung kuang, andak,arnab,ayam sutera dan unggas-unggas lain.

Kepada anda yang suka makan buah-buahan tempatan terdapat dusun buah-buahan disini. Anda berpeluang menikmati buah-buahan tropika seperti durian, dokong, limau chukong, buah salak, rambutan dan manggis. Untuk menikmati buah-buahan pastikan anda datang pada bulan Julai. Pasti anda merasa seronok apabila berkunjung ke Peladang Setiu Agro di Terengganu...

Read Users' Comments (0)

Pulau-Pulau Penyu di Sandakan




Jumaat, 12 Mac 2010- 12.30 tengah hari

Satu lagi tempat yang menarik di Negeri Sabah akan diterokai oleh "Explorasi Sana Sini" untuk minggu ini. Negeri Sabah atau lebih dikenali negeri di bawah bayu mempunyai banyak lokasi yang menarik terutama pulau-pulau yang indah untuk dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. kali ini anda akan dibawa ke satu lokasi yang boleh membuatkan anda teruja untuk menerokai pulau ini iaitu Pulau-Pulau Penyu di Sandakan.

Di seberang Pulau Libaran, 40 kilometer dari Timur-Utara Sandakan dan berhampiran dengan Sempadan Malaysia dan Filipina, terdapat sekelompok pulau-pulau yang terdiri daripada tiga pulau kecil yang berhampiran iaitu Pulau Selingan, Pulau Gulisan dan Pulau Bakkungan Kecil. Pulau-pulau ini merupakan pulau-pulau yang paling utama di timur-selatan Asia di mana penyu-penyu mendarat dan bertelur di pantainya. Penyu-penyu ini biasanya bertelur pada waktu malam selepas pukul 8 malam bila air surut. Pada masa itu anda boleh menyaksikan penyu-penyu yang mendarat mengorek lubang di pantai dan bertelur ke dalamnya.

Penyu-penyu yang bertelur di pulau-pulau ini ialah 83% ‘Green Turtles’ dan 17% ‘Hawksbill Turtles’. Kebanyakan ‘Green turtles’ bertelur di Pulau Selingan manakala kebanyakan ‘Hawksbill Turtles’ bertelur di Pulau Gulisan, kerana terdapat terumbu karang yang luas di kawasan ini. Manakala sebahagian kecil dari kedua-dua jenis penyu ini bertelur di Pulau Bakkungan Kecil. Penyu-penyu ini bertelur sepanjang tahun, tetapi kemuncak ia bertelur ialah pada bulan Julai hingga bulan Oktober bagi ‘Green Turtles’ yang bertelur lebih kurang 110 biji dalam satu lubang dan Februari hingga April bagi ‘Hawksbills Turtles’ yang bertelur di antara 70 hingga 180 biji telur sekali. Telur-telur ini akan di peram selama 50-60 hari sebelum ia menetas menjadi anak penyu dan berenang balik ke laut. Dalam penyelidikan, penyu-penyu betina ini akan kembali untuk bertelur selepas 20 tahun dan akan kembali bertelur selepas beberapa tahun berikutnya.



Di antara pulau-pulau penyu ini, Pulau Selingan juga merupakan salah sebuah tempat pelancongan yang menarik. Dengan menggunakan bot laju anda boleh menyaksikan keindahan pulau ini dan kejernihan lautnya yang cantik dengan beraneka jenis ikan. Pulau Selingan terdapat sebuah chalet iaitu Chalet Pulau Selingan. Ia mempunyai 15 buah bilik yang mempunyai bilik mandi. Chalet ini juga mempunyai restoran.


Read Users' Comments (0)

ZOO Melaka


Jumaat, 05 Mac 2010 -12.30 tengah hari


Minggu ini explorasi sana sini akan membawa anda berkunjung ke Zoo Melaka salah satu destinasi yang disukai oleh golongan kanak-kanak. Memandangkan minggu depan adalah cuti sekolah, ini adalah masa yang terbaik untuk luangkan masa bersama keluarga. Zoo Melaka terletak bersebelahan Dataran sejarah, Ayer Keroh, Melaka. Terdapat lebih dari 214 spesis haiwan yang boleh ditemui di Asia Tenggara dan Afrika secara semulajadi.


Zoo Melaka telah ditubuhkan pada tahun 1963. Pada mulanya Zoo Melaka ditadbir oleh Kerajaan Negeri Melaka tetapi pengurusan zoo ini diambil alih oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1979. Tahukah anda Zoo Melaka merupakan zoo kedua terbesar selepas Zoo Negara.


Jika anda berkunjung ke Zoo Melaka ini anda boleh melihat koleksi haiwan yang berjumlah 1200 spesismen daripada 215 spesies haiwan unggas, mamalia,reptilia dan amphibia. Tarikan utama di zoo ini adalah Badak Sumatra, Harimau belang, Seladang, Kijang dan Rusa. Jumlah pelawat yang berkunjung ke sini setiap tahun kira-kira 40,000 orang. Waktu terbaik untuk membuat lawatan ialah waktu pagi kerana pada waktu itu haiwan masih aktif menunggu waktu makan. Selepas makan, haiwan akan menghabiskan masa berehat atau tidur.

Zoo Melaka juga turut menganjurkan Night Safari setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk memberi peluang kepada pengunjung nikmati pemandangan zoo pada waktu malam sambil berjalan kaki atau menaiki tram sambil melihat 500 spesies haiwan malam dalam suasana yang diterangi cahaya lampu bulan purnama.

Setelah penat mengelilingi Zoo Melaka, jangan lupa untuk merakamkan gambar kenangan anda bersama personaliti zoo seperti Orang Utan, Ular dan banyak lagi.

Read Users' Comments (0)