Gua Kota Gelanggi, Pahang



Jumaat, 25 Mac 2011 -12.30 tengah hari

Untuk minggu ini, Explorasi Sana Sini akan mengunjungi satu lagi lokasi yang jarang-jarang diterokai oleh orang ramai kerana lokasi ini hanya di minati oleh pencinta alam . Lokasi yang dimaksudkan ialah Gua Kota Gelanggi yang terletak di daerah Jerantut, Pahang.

Gua Kota Gelanggi merupakan sebuah kompleks batu kapur yang mengandungi sekurang-kurangnya 120 buah gua, di mana ada di antaranya menjadi tapak untuk kajian kerja-kerja arkeologi dan akademik. Setiap gua disebut "kota" kerana bentuknya bagaikan sebuah kota. Antaranya Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rebut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena. Semua gua-gua tersebut dikenali dengan nama Kota Gelanggi.

Gua ini juga ada sejarahnya. Pada masa dahulu Kota Gelanggi merupakan sebuah kerajaan besar yang bertukar menjadi batu akibat disumpah oleh Sang Kelembai. Sehingga kini, dipercayai
di dalam gua tersebut terdapat banyak batu berbentuk manusia, binatang, perabot termasuk kolam mandi dan sebagainya.

Menjadi pilihan para pencinta alam, Gua Kota Gelanggi begitu dikagumi dari segi keindahanya. Terletak 16 kilometer dari Bandar Jerantut, perjalanan ke sini tidaklah begitu susah. Samaada menaiki kereta, motor ataupun bas, perjalanan pasti tiba terus ke Kota Gelanggi melalui sebatang jalan tanah merah yang dibina khas. Gua Kota Gelanggi terletak berhampiran dengan kampung Pulau Tawar iaitu tempat asal pahlawan Melayu, Mat kilau. Sebuah gugusan Felda yang terletak berhampiran gua ini juga dinamakan Felda Gelanggi.

Read Users' Comments (0)

0 Response to "Gua Kota Gelanggi, Pahang"

Post a Comment