Bukit Bendera, Pulau Pinang


Jumaat, 30 April 2010 -12.30 tengah hari

Jika minggu lepas, explorasi sana sini telah menjelajah ke Negeri Sabah, kali ini kita terbang ke Pulau Pinang. Sebuah tempat yang diminati oleh rakyat Malaysia dan para pelancong luar negara untuk bercuti dan menikmati keindahan alam semulajadi disekeliling. Lokasi yang dimaksudkan ialah Bukit Bendera.

Berada pada ketinggian lapan ratus tiga puluh meter di atas Georgetown, puncak Bukit bendera (Penang Hill) mempunyai suhu dingin dan panorama yang mengasyikkan.

Suhu dikawasan puncak Bukit Bendera ini adalah lima darjah Celsius lebih dingin daripada garisan laut. Dari kemuncak, para pelancong boleh melihat pemandangan yang menakjubkan dibawah, dimana mereka akan melihat seluruh pulau bahkan juga ke tanah utama di seberang laut. Terdapat juga taman yang menyenangkan, pondok berfesyen tua, restoran dan penginapan, sebuah kuil Hindu, taman burung serta Masjid Muslim di puncaknya.

Tahukah anda, Bukit Pulau Pinang pada asalnya digelar Bukit Strawberi (Strawberry Hill) kerana kawasan tersebut adalah sebuah kawasan pengeluaran strawberi kerana bentuk muka buminya dan suhu yang dingin sesuai untuk ditanam buah strawberry. Nama rasmi bukit ini adalah Bukit Bendera Pulau Pinang (Flag Hill), namun ia tetap secara umumnya dipanggil Bukit Pulau Pinang.

Untuk sampai ke kemuncak lebih mudah melalui Taman Botanikal Air Terjun dengan jalan kaki ataupun anda boleh memilih untuk menggunakan kereta api kabel yang telah beroperasi sejak tahun 1922. Dengan menggunakan kereta api kabel ini anda akan mengambil masa hanya setengah jam untuk sampai ke kemuncak berbanding trek berjalan kaki yang mengambil masa empat jam untuk sampai....

Read Users' Comments (0)

Pulau Gaya, Sabah


Jumaat, 23 April 2010 -12.30 tengah hari

Explorasi sana sini pada minggu ini, masih lagi meninjau tempat-tempat menarik di negeri dibawah bayu, Sabah. Jika minggu lalu, explorasi sana sini telah menerokai Kota Kinabalu, kali ini masih lagi dilokasi yang sama dimana kita ke Pulau Gaya. Antara destinasi pelancongan yang semakin dikenali oleh pelancong dalam dan luar negara.

Untuk datang ke Pulau Gaya anda boleh menaiki bot laju kira -kira 10 minit dari Kota Kinabalu, Sabah. Luasnya 1,465 hektar dan termasuk dalam warta Taman Tunku Abdul Rahman, satu pulau yang dilindungi daripada aktiviti nelayan, pembalakan haram, carigali petroleum dan pelbagai sumber pencemaran.

Lokasi yang sentiasa mendapat tumpuan pelancong di Pulau Gaya ini ialah pantainya yang cukup indah dan air laut yang biru. Sesuai untuk mereka yang sukakan percutian bersama keluarga. Begitu juga buat anda yang gemarkan aktiviti "scuba diving" meneroka keindahan dalam laut dan kapal-kapal lama yang pernah tenggelam di Pulau Gaya (mengikut sejarah lama). Dari segi penginapan pula anda tidak perlu risau kerana ada banyak chalet-chalet yang disediakan untuk pengunjung yang datang ke sini.

Jika anda berkunjung di Pulau Gaya ini anda berpeluang melihat keunikan rumah air. Terdapat 6000 orang penduduk yang mendiami rumah air ini yang diperbuat daripada kayu dan dibina di tepi pantai yang cetek dan landai. Mereka yang tinggal di sini terdiri daripada etnik Bajau, Ubian dan rakyat Filipina. Apa yang uniknya dari satu rumah ke satu rumah hanya dihubungkan dengan papan-papan kecil dan nipis bila anda melaluinya pasti anda akan berasa gayat. pengangkutan utama oleh penduduk disitu adalah bot laju dan perahu nelayan.

Read Users' Comments (0)

Kota Kinabalu, Sabah



Jumaat, 16 April 2010-12.30 tengah hari

Destinasi explorasi sana sini minggu ini, kita terbang ke Negeri di bawah bayu, jolokan yang sinonim dengan Negari Sabah. Kota Kinabalu adalah ibu kota Negeri Sabah yang bertenaga lagi bersemangat terletak di pantai barat Sabah. Ia pintu masuk bagi pelancongan ekokembara merangkumi aktiviti seperti mendaki gunung, berakit arus deras (kawasan jeram), meneroka gua, menyelam dan belayar menelusuri sungai.

Jika anda berkunjung ke Kota Kinabalu, jangan lepaskan peluang untuk ke tempat-tempat menarik di sini antaranya Muzium Negeri, Pasar Minggu Gaya yang memperagakan keluaran segar, hasil kraftangan, bahan makanan dan hasil hutan kawasan terbuka.

Selain itu, anda juga boleh ke Taman Tunku Abdul Rahman dengan lima pulaunya yang berhampiran dengan kota kinabalu, menjanjikan keheningan suasana yang tenang di bawah sinaran sang suria. Tidak ketinggalan Tanjung aru dengan makanan laut yang segar.

Tidak jauh dari Kota Kinabalu terdapat pusat peranginan dengan pemandangan yang sungguh mempersonakan iaitu Nexus karambunai. Tidak susah untuk anda bercuti ditepi pantai kerana Shangri-La Ria menyediakan kemudahan percutian tepi pantai yang menyeluruh. Sesuai untuk bercuti bersama keluarga yang gemarkan suasana tenang dengan air laut yang biru.

Read Users' Comments (0)

Gua Tempurung di Negeri Perak

Jumaat, 09 April 2010-12.30 tengah hari

Destinasi pada minggu ini, kita ke Negeri Perak Darul Ridzuan. Lokasinya cukup menarik untuk penggemar alam semulajadi iaitu di Gua Tempurung. Gua tempurung ialah sebuah gua batu kapur yang terletak di Gopeng , Perak. Namanya diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9 km dan dipercayai telah wujud sejak 8000 sm lagi.

Gua Tempurung terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza. selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air dan kandungan batu kapur dan marmar.

Sekiranya anda melangkah ke tengah kawasan gua, anda akan melihat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi. Memandangkan gua ini menjadi tumpuan pelancongan, kerajaan Negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Gua Tempurung pada masa kini turut dilengkapi lampu, tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan. bagi anda yang suka dengan aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.

Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia. gua ini menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung telah dijadikan lombong bijih timah.


Read Users' Comments (0)