Animal Zone Menara KL, Kuala Lumpur


Jumaat, 26 November 2010- 12.30 tengah hari

Musim cuti sekolah sudahpun bermula pasti anak-anak dan adik-adik ingin meluangkan masa dengan perkara-perkara yang menyeronokkan. Minggu ini Explorasi Sana Sini akan membawa anda ke satu lagi lokasi yang boleh anda kunjungi bersama keluarga iaitu Animal Zone Menara KL yang terletak di Menara Kuala Lumpur. Beroperasi setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam. Untuk masuk ke Animal Zone Menara KL bayaran akan dikenakan dengan harga yang cukup berpatutan. (Dewasa-RM10 & Kanak-kanak-RM8, bukan warganegara -Dewasa RM15 & Kanak-Kanak RM10)

Mula dibuka kepada orang ramai termasuk pelancong asing sejak November 2008, mini zoo yang menelan belanja kira-kira RM 650,000 menempatkan 100 spesies haiwan jenis reptilia, amfibia dan mamalia. Tambahan pula, taman yang bertemakan "Kebudayaan, Aktiviti lasak dan Alam semulajadi (CAN) ini tidak boleh dilihat dimana-mana menara lain di dunia. Yang menarik, kebanyakan haiwan disini adalah koleksi daripada pemiliknya sendiri dan kini ingin berkongsi untuk tatapan orang ramai.

Paling istimewa, pengunjung berpeluang mengenali sejenis buaya yang dinamakan sebagai Dwart Calman. Buaya ini dikatakan antara spesies buaya paling kecil di dunia. Anda juga boleh melihat gelagat si burung kakak tua yang dikatakan paling pandai bercakap sehingga 400 patah perkataan.

Antara haiwan eksotik lain yang terdapat disini ialah ular, spesies tarantula, kura-kura, monyet, rakun, rusa dan banyak lagi. Tidak rugi rasanya bila anda datang ke Animal Zone Menara KL. Anda juga boleh mengabadikan gambar bersama-sama haiwan kesukaan anda disana.

Read Users' Comments (0)

Taman Rekreasi & Mini Zoo kemaman


Jumaat, 19 November 2010- 12.30 tengah hari

Cuti Sekolah kembali lagi, pasti ramai di antara ibu bapa yang tidak tahu kemana destinasi percutian bersama dengan anak-anak. Explorasi Sana Sini akan meninjau satu lagi lokasi yang menarik dan sesuai untuk anda dan anak-anak berkunjung di musim cuti sekolah. Lokasi yang dimaksudkan ialah Taman Rekreasi dan Mini Zoo kemaman yang terletak di kampung Ibok, Kemaman, Terengganu. Lokasi ini merupakan daya tarikan pelancongan dan pemangkin pembangunan ekonomi baharu di Negeri Terengganu.

Mempunyai keluasan 54 hektar, zoo ini bersempadan dengan habitat kunang-kunang yang terkenal di kampung Kak Yah dan mempamerkan kira-kira 100 spesies haiwan seperti harimau, gajah, burung merak, beruang serta ikan naga atau "arapaima gigas" sepanjang hampir tiga meter.

Selain taman tema air serta taman permainan kanak-kanak yang berkonsepkan rekreasi hutan, laluan kanopi sepanjang 1.2 kilometer merentasi habitat rusa juga menjadi tarikan. pastinya peluang menunggang gajah menjadi pengalaman yang tidak akan anda lupakan semasa berada di sini. Tidak dilupakan, dua buah bas telah disediakan untuk memudahkan pengunjung ke taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman. Bayaran masuk akan dikenakan kepada anda yang masuk ke Taman Rekreasi dan mini Zoo kemaman ini. Jangan Lupa minggu hadapan dengan satu lagi lokasi yang menarik untuk anda bercuti bersama keluarga.

Read Users' Comments (0)

Air Terjun Orang Asli, Serendah


Jumaat, 12 November 2010 -12.30 tengah hari

Kepada anda suka kehijauan tumbuh-tumbuhan dengan air terjun yang menyegarkan di sekeliling anda, Explorasi Sana Sini akan membawa anda ke lokasi yang dimaksudkan pada minggu ini. Kali ini anda boleh membawa keluarga atau rakan-rakan anda ke air terjun Orang Asli di Serendah, Selangor.

Untuk sampai ke sini tidak sukar, anda cuma perlu memandu mengikut jalan lama melepasi bandar Rawang, menghala ke Serendah. Sebelum tiba di kawasan Padang Golf, ada simpang kecil disebelah kanan iaitu kawasan perkampungan Datuk Harun. Anda perlu meneruskan pemanduan sehingga anda terlihat papan tanda perkampungan Orang Asli Serendah di kawasan belukar dikiri jalan.

Walaupun jauh masuk ke kawasan perkampungan dan hutan, anda pasti akan terkejut apabila sampai ke lokasi air terjun yang dimaksudkan. Di sekitar kawasan air terjun Orang Asli ini terdapat pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, jambatan gantung,tandas, wakaf untuk berehat dan juga air terjun semulajadi dengan kolam buatan yang terdapat dibawahnya. Walaupun air terjun ini ada satu saja dan tidak bertingkat, ia sudah cukup untuk mandi manda dan berenang disekitar kawasan.

Satu aksi yang gemar dilakukan oleh pengunjung ketika mandi manda disini ialah bersandar pada batu sambil kepala disirami air terjun. Ini dapat menyegarkan tubuh badan dengan air yang bersih dan menyegarkan. Tetapi perlu berhati-hati jika air deras, jangan bersandar di batu terlalu lama takut mengundang bahaya.

Jika anda berhasrat datang ke sini, bawalah kelengkapan perkelahan secukupnya. Tiada bayaran masuk dikenakan buat pengunjung yang datang ke sini. Ruang meletak kereta juga luas, jadi tidak perlu risau walaupun pengunjung ramai datang ke sini lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

Read Users' Comments (0)

Tip Persiapan Pelancongan


Jumaat, 05 November 2010 -12.30 tengah hari

Percutian antara aktiviti yang memerlukan kita melakukan pelbagai perancangan, termasuk bajet agar tidak berlaku pembaziran serta memastikan pecutian lancar tanpa masalah.

Berikut,beberapa tip yang boleh dijadikan panduan memaksimumkan bajet.


1. Buat tempahan lebih awal.

Industri perlancongan banyak bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah negara serta permintaan pelancong sama tempatan atau asing dan sehubungan itu, lebih baik menempah tiket penerbangan awal, beberapa bulan sebelum tarikh kita melancong.

Tempoh itu membolehkan kita merancang percutían dengan teliti supaya tidak mengalami masalah, sama ada sebelum, ketika atau selepas percutian. Jika lewat membuat tempahan atau pada saat-saat akhir, mungkin berlaku kesesakan dan kita sukar mendapat tiket serta penginapan, yang tidak sempurna.


2. Pengangkutan.

Dapatkan maklumat mencukupi mengenai tempat atau negara yang ingin dilawati supaya lebih selesa dan mudah bergerak serta merancang aktiviti dan tempat yang bakal dilawati. Pilih pengangkutan paling murah serta pemandu pelancong yang mengetahui selok belok kawasan percutian untuk mengelakkan ditipu serta sesat.


3. Perbelanjaan.

Anda juga perlu mengetahui kadar tukaran wang negara yang ingin dilawati supaya sesuai dengan bajet yang anda sediakan serta tidak tertipu ketika menukar wang. Mengetahui kadar tukaran wang membolehkan anda merancang pembelanjaan, terutama ketika membeli-belah.
Selain itu juga, anda boleh memilih menyediakan sendiri makanan bagi menjimatkan belanja tetapi ia jarang dilakukan kecuali mereka yang ingin melakukan aktiviti lasak ketika bercuti.


4. Melawat negara yang menawarkan pakej percutian murah.

Pilih negara yang menawarkan pakej percutian murah bagi mengelak pembaziran. Tiada salahnya jika pakej yang dipilih murah tapi diisi dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang percutian. Oleh itu, sebelum memutuskan untuk ke suatu destinasi selidik terlebih dulu tempat-tempat menarik yang ada di sana agar kepuasan ketika bercuti boleh dirasai sepenuhnya.


5. Lebih jimat jika bercuti berkumpulan.

Bercuti secara berkumpulan banyak keistimewaan, terutama keselamatan. Sekurang-kurangnya kita rasa selamat berada di tempat orang bersama rakan yang boleh saling membantu jika menghadapi masalah.


6 .Melakukan aktiviti perkhemahan.

Bagi mendapat kepuasan lebihketika bercuti, anda juga boleh menambah aktiviti lasak, seperti berkhemah kerana selain menjimatkan, mampu memberi pengalaman baru berada di tempat orang.


Read Users' Comments (0)