Animal Zone Menara KL, Kuala Lumpur


Jumaat, 26 November 2010- 12.30 tengah hari

Musim cuti sekolah sudahpun bermula pasti anak-anak dan adik-adik ingin meluangkan masa dengan perkara-perkara yang menyeronokkan. Minggu ini Explorasi Sana Sini akan membawa anda ke satu lagi lokasi yang boleh anda kunjungi bersama keluarga iaitu Animal Zone Menara KL yang terletak di Menara Kuala Lumpur. Beroperasi setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam. Untuk masuk ke Animal Zone Menara KL bayaran akan dikenakan dengan harga yang cukup berpatutan. (Dewasa-RM10 & Kanak-kanak-RM8, bukan warganegara -Dewasa RM15 & Kanak-Kanak RM10)

Mula dibuka kepada orang ramai termasuk pelancong asing sejak November 2008, mini zoo yang menelan belanja kira-kira RM 650,000 menempatkan 100 spesies haiwan jenis reptilia, amfibia dan mamalia. Tambahan pula, taman yang bertemakan "Kebudayaan, Aktiviti lasak dan Alam semulajadi (CAN) ini tidak boleh dilihat dimana-mana menara lain di dunia. Yang menarik, kebanyakan haiwan disini adalah koleksi daripada pemiliknya sendiri dan kini ingin berkongsi untuk tatapan orang ramai.

Paling istimewa, pengunjung berpeluang mengenali sejenis buaya yang dinamakan sebagai Dwart Calman. Buaya ini dikatakan antara spesies buaya paling kecil di dunia. Anda juga boleh melihat gelagat si burung kakak tua yang dikatakan paling pandai bercakap sehingga 400 patah perkataan.

Antara haiwan eksotik lain yang terdapat disini ialah ular, spesies tarantula, kura-kura, monyet, rakun, rusa dan banyak lagi. Tidak rugi rasanya bila anda datang ke Animal Zone Menara KL. Anda juga boleh mengabadikan gambar bersama-sama haiwan kesukaan anda disana.

Read Users' Comments (0)

0 Response to "Animal Zone Menara KL, Kuala Lumpur"

Post a Comment