Air Terjun Orang Asli, Serendah


Jumaat, 12 November 2010 -12.30 tengah hari

Kepada anda suka kehijauan tumbuh-tumbuhan dengan air terjun yang menyegarkan di sekeliling anda, Explorasi Sana Sini akan membawa anda ke lokasi yang dimaksudkan pada minggu ini. Kali ini anda boleh membawa keluarga atau rakan-rakan anda ke air terjun Orang Asli di Serendah, Selangor.

Untuk sampai ke sini tidak sukar, anda cuma perlu memandu mengikut jalan lama melepasi bandar Rawang, menghala ke Serendah. Sebelum tiba di kawasan Padang Golf, ada simpang kecil disebelah kanan iaitu kawasan perkampungan Datuk Harun. Anda perlu meneruskan pemanduan sehingga anda terlihat papan tanda perkampungan Orang Asli Serendah di kawasan belukar dikiri jalan.

Walaupun jauh masuk ke kawasan perkampungan dan hutan, anda pasti akan terkejut apabila sampai ke lokasi air terjun yang dimaksudkan. Di sekitar kawasan air terjun Orang Asli ini terdapat pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, jambatan gantung,tandas, wakaf untuk berehat dan juga air terjun semulajadi dengan kolam buatan yang terdapat dibawahnya. Walaupun air terjun ini ada satu saja dan tidak bertingkat, ia sudah cukup untuk mandi manda dan berenang disekitar kawasan.

Satu aksi yang gemar dilakukan oleh pengunjung ketika mandi manda disini ialah bersandar pada batu sambil kepala disirami air terjun. Ini dapat menyegarkan tubuh badan dengan air yang bersih dan menyegarkan. Tetapi perlu berhati-hati jika air deras, jangan bersandar di batu terlalu lama takut mengundang bahaya.

Jika anda berhasrat datang ke sini, bawalah kelengkapan perkelahan secukupnya. Tiada bayaran masuk dikenakan buat pengunjung yang datang ke sini. Ruang meletak kereta juga luas, jadi tidak perlu risau walaupun pengunjung ramai datang ke sini lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

Read Users' Comments (0)

0 Response to "Air Terjun Orang Asli, Serendah"

Post a Comment