Kolam Air Panas Gadek, Melaka


Jumaat, 21 Januari 2011 -12.30 tengah hari


Minggu ini Explorasi Sana Sini akan membawa anda mengunjungi satu lagi lokasi yang menarik di Negeri Melaka atau lebih dikenali sebagai negeri bersejarah. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini ialah Kolam Air Panas Gadek yang terletak di daerah Alor Gajah.


Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Alor Gajah dan mengambil teksi ke Kolam Air Panas Gadek ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Alor Gajah dan terus ke Gadek.


Terletak kira-kira 25 kilometer dari Bandar Melaka laluan ke Tampin, Kolam air panas ini mempunyai banyak khasiatnya terutamanya bagi memulihkan luka-luka dan gatal-gatal di badan. Selain itu, kolam air panas ini juga dapat membantu melancarkan darah terutamanya kepada pesakit yang menghidap angin ahmar ataupun lumpuh.


Dilengkapi dengan dua buah kolam utama dan lapan buah kolam mini. Kolam air panas ini dibuka setiap hari kepada para pengunjung. Disamping itu terdapat juga restoran, bilik persalinan dan bilik mandi yang telah disediakan pihak pengurusan. Jika dahulu kolam ini hanya beroperasi pada pukul 7 petang hingga 12 tengah malam, tetapi kini, waktu operasi dilanjutkan selama 24 jam.


Bayaran yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu Dewasa RM 6 manakala harga bagi kanak-kanak pula sebanyak RM 3. Sejak kolam air panas ini diswastakan pada tahun 2002, pengurusan Kolam Air Panas Gadek diambil alih oleh syarikat swasta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).


Jika anda impikan tempat beriadah yang tenang dan menyihatkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan, pastinya Kolam Air Panas Gadek adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.

Read Users' Comments (0)

Air Terjun Kota Tinggi, Johor


Jumaat, 14 Januari 2011- 12.30 tengah hari


Minggu ini explorasi sana sini menerokai khazanah dan keindahan yang terdapat di Negeri Johor Darul Takzim. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini adalah Air Terjun Kota Tinggi.


Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Kota Tinggi dan mengambil teksi ke air terjun ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Kulai untuk ke Kota Tinggi. Terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Kota Tinggi yang turut terkenal dengan gelaran bandar pelancongan bersejarah, pengunjung pasti terpesona sebaik memasuki kawasan air terjun yang sekitarnya diwarnai kehijauan Hutan Simpan Panti dan keindahan Puncak Gunung Muntaha.


Di samping itu, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada ingin bermalam atau sekadar singgah untuk menghabiskan percutian bersama keluarga mahupun teman-teman. Dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 7 malam, pengunjung boleh bermandi manda dan menggunakan segala perkhidmatan yang telah disediakan pihak pengurusan air terjun ini.


Dengan pengubahsuaian yang dilakukan sejak tiga tahun lalu, Kota Tinggi Waterfalls Resort kini tidak lagi dikenali sebagai tempat mandi manda, sebaliknya turut menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi menarik, kemudahan bersantai, hiburan, bersukan dan pakej hiburan yang menarik. Selepas penat bermandi manda, bagi pengunjung yang bermalam dengan menyewa bilik, mereka boleh terus berehat dengan selesa sama ada di bilik standard, calet atau suite keluarga di kawasan peranginan ini.

Dengan dikelilingi hutan dan air terjun, orang ramai yang bermalam di situ pasti turut berpeluang menikmati hiburan semula jadi daripada bunyi unggas, burung dan cengkerik yang kekal menghuni di dalam hutan simpan yang terpelihara ini.


Menariknya, pihak pengurusan peranginan turut menyediakan perkhidmatan melihat kunang-kunang yang semakin popular di Sungai Johor. Dengan tambahan RM15 untuk tambang bot, pengunjung boleh menyaksikan keunikan beribu-ribu kunang-kunang di sungai dengan lebih dekat lagi.


Jika anda impikan percutian yang tenang dan menyeronokkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan pastinya Air Terjun Kota Tinggi adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi

Read Users' Comments (0)

Lumut Waterfront, Perak


Jumaat, 07 Januari 2011 -12.30 tengah hari

Tahun 2011, pastinya menjanjikan sesuatu kelainan dalam percutian anda. Minggu ini Explorasi Sana Sini akan menyelusuri satu lagi lokasi yang menarik di Negeri Perak Darul Ridzuan. Destinasi yang dimaksudkan ialah Lumut Waterfront yang terletak di Bandar Lumut.

Bandar Lumut merupakan pintu masuk utama ke pulau peranginan popular iaitu Pulau Pangkor. Sebagai pintu masuk utama untuk pelancongan ke Pulau Pangkor, Lumut telah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan pelancong serta penduduk tempatan. Keseluruhan pembangunan ini dianggarkan bernilai RM 80 juta dan telah pun direalisasikan pada tahun 2010.

Lumut Water Front dibahagikan kepada empat segmen utama, di mana kawasan ini dibangunkan dengan pendekatan konsep yang berbeza tetapi berkaitan dari segi aktiviti dan reka bentuk bagi mewujudkan kesinambungan di antara keempat-empat kawasan tersebut. elemen air adalah antara tarikan utama di dalam Lumut Water Front ini. Disamping itu, turut ditekankan juga konsep "Water friendly" di dalam pembangunan keempat-empat segmen utama ini.

Kepada anda yang gemar kepada air, inilah lokasi yang cukup sesuai untuk anda mandi manda bersama anak-anak dan keluarga.

Read Users' Comments (0)