Kolam Air Panas Gadek, Melaka
Jumaat, 21 Januari 2011 -12.30 tengah hari
Minggu ini Explorasi Sana Sini akan membawa anda mengunjungi satu lagi lokasi yang menarik di Negeri Melaka atau lebih dikenali sebagai negeri bersejarah. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini ialah Kolam Air Panas Gadek yang terletak di daerah Alor Gajah.
Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Alor Gajah dan mengambil teksi ke Kolam Air Panas Gadek ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Alor Gajah dan terus ke Gadek.
Terletak kira-kira 25 kilometer dari Bandar Melaka laluan ke Tampin, Kolam air panas ini mempunyai banyak khasiatnya terutamanya bagi memulihkan luka-luka dan gatal-gatal di badan. Selain itu, kolam air panas ini juga dapat membantu melancarkan darah terutamanya kepada pesakit yang menghidap angin ahmar ataupun lumpuh.
Dilengkapi dengan dua buah kolam utama dan lapan buah kolam mini. Kolam air panas ini dibuka setiap hari kepada para pengunjung. Disamping itu terdapat juga restoran, bilik persalinan dan bilik mandi yang telah disediakan pihak pengurusan. Jika dahulu kolam ini hanya beroperasi pada pukul 7 petang hingga 12 tengah malam, tetapi kini, waktu operasi dilanjutkan selama 24 jam.
Bayaran yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu Dewasa RM 6 manakala harga bagi kanak-kanak pula sebanyak RM 3. Sejak kolam air panas ini diswastakan pada tahun 2002, pengurusan Kolam Air Panas Gadek diambil alih oleh syarikat swasta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).
Jika anda impikan tempat beriadah yang tenang dan menyihatkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan, pastinya Kolam Air Panas Gadek adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.
0 Response to "Kolam Air Panas Gadek, Melaka"
Post a Comment