Gunung Ledang, Johor
Jumaat, 11 Februari 2011-12.30 tengah hari
Minggu ini explorasi sana sini menorakai khazanah dan keindahan yang terdapat di Negeri Johor Darul Takzim. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini adalah Gunung Ledang yang terletak di Tangkak, dalam daerah Muar Johor.
Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Muar dan mengambil teksi ke Gunung Ledang ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Tangkak dan terus ke Gunung Ledang mengikut papan tanda yang disediakan.
Gunung Ledang yang menjadi gunung tertinggi di selatan Semenanjung popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara bukan saja kerana keindahan alam semula jadinya malah legenda Puteri Gunung Ledang sendiri yang menjadi idaman sultan pada zaman dahulu.
Dengan ketinggian 1,276 meter pastinya Gunung Ledang memberi peluang untuk pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna semulajadi yang cukup indah. Menariknya, kawasan hutan di gunung ini memiliki lebih 100 spesies pokok dan paku pakis yang sukar ditemui. Malah banyak pokok hutan dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk tujuan perubatan tradisional terdapat di sini.
Dalam pada itu, Taman Negara Johor dengan kerjasama resort dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sering mengadakan kembara bagi membersih dan membawa sampah sarap bagi memastikan keadaan persekitaran Gunung Ledang dalam keadaan bersih dan baik sepanjang masa.
Bersesuaian dengan ciri mistiknya yang tidak terungkap, Gunung Ledang menjanjikan pengalaman mengasyikkan kepada pengunjung dengan aktiviti lasak dan pendakian di samping pelbagai program motivasi, bina semangat dan jati diri. Pengunjung juga boleh bermandi manda dan berkelah bersama keluarga tersayang mahupun rakan-rakan di air terjun Gunung Ledang yang bersih dan mempersonakan ini.
Bagi mereka yang ingin bermalam dan menikmati keindahan Gunung Ledang pada waktu malam boleh terus menginap di Gunung Ledang Resort yang pastinya menjamin keselesaan dan ketenangan setiap pengunjung yang berkunjung ke resort ini. Malah pihak resort juga turut menyediakan pakej untuk kesenangan dan keselesaan para pengunjung.
Jika anda impikan percutian yang tenang dan menyeronokkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan pastinya Gunung Ledang adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.
0 Response to "Gunung Ledang, Johor"
Post a Comment