Gunung Stong
Jumaat, 25 Februari 2011 12.30 tengah hari
Minggu ini explorasi sana sini membawa anda mengunjungi tempat menarik yang terdapat di Negeri Kelantan atau lebih dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini ialah Gunung Stong yang terletak di daerah Kuala Krai.
Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Kuala Krai, Kelantan dan mengambil teksi ke Gunung Stong ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya pantai timur untuk ke destinasi ini.
Gunung Stong yang tingginya mencecah 1,433 meter, adalah lokasi kegemaran sesuai untuk pelbagai aktiviti. Bagi yang meminati aktiviti lasak, meluncur di puncak air terjun beserta dengan pemandangan flora dan fauna yang mempesona pastinya sesuatu yang sukar untuk dilupakan. Tambahan pula dengan deruan air yang mengalir di celahan batu dan kedinginan air gunung bagaikan rawatan refleksologi menghilangkan keletihan semasa pendakian.
Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM4 untuk memasuki Taman Negeri Stong ini. Sebelum sampai ke puncak Gunung Stong, pendaki akan melalui beberapa puncak seperti Gunung Ayam, Gunung Saji dan Gunung Tara iaitu rangkaian gunung terbesar di Kelantan.
Terdapat beberapa panorama yang menarik di sekitar Gunung Stong seperti Gunung Ayam yang terletak bersebelahan Gunung Stong di Hutan Simpan Dabong. Menariknya, suasana dalam hutan ini sungguh mengasyikkan dengan kicauan burung dan unggas-unggas. Namun begitu, hutan ini juga merupakan habitat bagi haiwan-haiwan liar seperti gajah dan harimau.
Dalam pada itu, pendaki biasanya akan menjadikan Kem Baha yang terletak di puncak Air Terjun Jelawang sebagai tapak persinggahan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan meneroka keindahan kawasan gunung menghijau itu.
Jika anda impikan tempat beriadah yang tenang dan menyihatkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan, pastinya Gunung Stong adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.
0 Response to "Gunung Stong"
Post a Comment