Air Terjun Kota Tinggi, Johor
Jumaat, 14 Januari 2011- 12.30 tengah hari
Minggu ini explorasi sana sini menerokai khazanah dan keindahan yang terdapat di Negeri Johor Darul Takzim. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini adalah Air Terjun Kota Tinggi.
Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Kota Tinggi dan mengambil teksi ke air terjun ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Kulai untuk ke Kota Tinggi. Terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Kota Tinggi yang turut terkenal dengan gelaran bandar pelancongan bersejarah, pengunjung pasti terpesona sebaik memasuki kawasan air terjun yang sekitarnya diwarnai kehijauan Hutan Simpan Panti dan keindahan Puncak Gunung Muntaha.
Di samping itu, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada ingin bermalam atau sekadar singgah untuk menghabiskan percutian bersama keluarga mahupun teman-teman. Dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 7 malam, pengunjung boleh bermandi manda dan menggunakan segala perkhidmatan yang telah disediakan pihak pengurusan air terjun ini.
Dengan pengubahsuaian yang dilakukan sejak tiga tahun lalu, Kota Tinggi Waterfalls Resort kini tidak lagi dikenali sebagai tempat mandi manda, sebaliknya turut menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi menarik, kemudahan bersantai, hiburan, bersukan dan pakej hiburan yang menarik. Selepas penat bermandi manda, bagi pengunjung yang bermalam dengan menyewa bilik, mereka boleh terus berehat dengan selesa sama ada di bilik standard, calet atau suite keluarga di kawasan peranginan ini.
Dengan dikelilingi hutan dan air terjun, orang ramai yang bermalam di situ pasti turut berpeluang menikmati hiburan semula jadi daripada bunyi unggas, burung dan cengkerik yang kekal menghuni di dalam hutan simpan yang terpelihara ini.
Menariknya, pihak pengurusan peranginan turut menyediakan perkhidmatan melihat kunang-kunang yang semakin popular di Sungai Johor. Dengan tambahan RM15 untuk tambang bot, pengunjung boleh menyaksikan keunikan beribu-ribu kunang-kunang di sungai dengan lebih dekat lagi.
Jika anda impikan percutian yang tenang dan menyeronokkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan pastinya Air Terjun Kota Tinggi adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi
0 Response to "Air Terjun Kota Tinggi, Johor"
Post a Comment