Gunung Stong



Jumaat, 25 Februari 2011 12.30 tengah hari


Minggu ini explorasi sana sini membawa anda mengunjungi tempat menarik yang terdapat di Negeri Kelantan atau lebih dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini ialah Gunung Stong yang terletak di daerah Kuala Krai.


Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Kuala Krai, Kelantan dan mengambil teksi ke Gunung Stong ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya pantai timur untuk ke destinasi ini.


Gunung Stong yang tingginya mencecah 1,433 meter, adalah lokasi kegemaran sesuai untuk pelbagai aktiviti. Bagi yang meminati aktiviti lasak, meluncur di puncak air terjun beserta dengan pemandangan flora dan fauna yang mempesona pastinya sesuatu yang sukar untuk dilupakan. Tambahan pula dengan deruan air yang mengalir di celahan batu dan kedinginan air gunung bagaikan rawatan refleksologi menghilangkan keletihan semasa pendakian.


Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM4 untuk memasuki Taman Negeri Stong ini. Sebelum sampai ke puncak Gunung Stong, pendaki akan melalui beberapa puncak seperti Gunung Ayam, Gunung Saji dan Gunung Tara iaitu rangkaian gunung terbesar di Kelantan.


Terdapat beberapa panorama yang menarik di sekitar Gunung Stong seperti Gunung Ayam yang terletak bersebelahan Gunung Stong di Hutan Simpan Dabong. Menariknya, suasana dalam hutan ini sungguh mengasyikkan dengan kicauan burung dan unggas-unggas. Namun begitu, hutan ini juga merupakan habitat bagi haiwan-haiwan liar seperti gajah dan harimau.


Dalam pada itu, pendaki biasanya akan menjadikan Kem Baha yang terletak di puncak Air Terjun Jelawang sebagai tapak persinggahan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan meneroka keindahan kawasan gunung menghijau itu.


Jika anda impikan tempat beriadah yang tenang dan menyihatkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan, pastinya Gunung Stong adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.

Read Users' Comments (0)

Tip Sebelum Melancong

Jumaat, 18 Februari 2011-12.30 tengah hari


Persiapan sebelum melancong ke destinasi pilihan adalah penting bagi memberikan keselesaan semasa percutian. Berikut adalah beberapa tips sebelum melancong yang boleh dipraktikkan:


1. Melancong pada hari biasa dan bukan pada hujung minggu

Langkah bijak buat anda yang mahu pergi melancong dengan memilih hari biasa berbanding hari minggu. Banyak sebab hal ini perlu dititik beratkan. Pertama sekali tentunya kos yang lebih jimat berbanding hari minggu. Pada hari minggu kebanyakan pusat peranginan mahupun tempat tumpuan pelancong akan dibanjiri ribuan pengunjung termasuk juga tempat penginapan. Waktu ini caj yang dikenakan untuk sebuah bilik adalah lebih mahal berbanding dengan harga biasa.


2. Lakukan kajian terhadap tempat yang ingin dikunjungi

Sebelum pergi bercuti ke tempat idaman, adalah lebih baik untuk meninjau sedikit informasi mengenainya dahulu. Ketahui lokasi menarik untuk dilawati, harga serta pengangkutan awam yang boleh digunakan di sana kelak. Di samping itu, laman sesawang juga adalah cara yang paling mudah untuk mencari informasi tempat pelancongan yang ingin dikunjungi.


3. Gunakan khidmat agensi pelancongan

Melancong dengan menggunakan khidmat agensi pelancongan juga sangat digalakkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali mahu melancong. Ini dapat mengelakkan anda dari ditipu atau membuang waktu untuk mencari tempat yang anda kurang arif tentangnya. Di samping itu, percutian anda akan lebih bermakna dengan agensi ini kerana jadual anda pasti padat dengan aktiviti menarik.


4. Elakkan menggunakan perhiasan yang mahal

Semasa bercuti elakkan dari mengenakan perhiasan yang mahal seperti emas dan sebagainya. Bercuti bukanlah tempat sesuai untuk menggayakan barangan hiasan yang anda miliki. Bimbang pula disaat sedang bersuka ria berganti duka nanti. Sebaiknya simpanlah barang kemas di rumah supaya keselamatan anda lebih terjamin. Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti kecurian dan rompakan berlaku.


Disediakan Oleh:

Mohd Khairul Anam(Am)

Pelajar Praktikal Uitm.

Read Users' Comments (0)

Gunung Ledang, Johor



Jumaat, 11 Februari 2011-12.30 tengah hari


Minggu ini explorasi sana sini menorakai khazanah dan keindahan yang terdapat di Negeri Johor Darul Takzim. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini adalah Gunung Ledang yang terletak di Tangkak, dalam daerah Muar Johor.


Untuk sampai ke destinasi ini, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bas boleh menaiki bas dari Puduraya ke Muar dan mengambil teksi ke Gunung Ledang ini. Sekiranya anda berkereta pula boleh gunakan lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Tangkak dan terus ke Gunung Ledang mengikut papan tanda yang disediakan.


Gunung Ledang yang menjadi gunung tertinggi di selatan Semenanjung popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara bukan saja kerana keindahan alam semula jadinya malah legenda Puteri Gunung Ledang sendiri yang menjadi idaman sultan pada zaman dahulu.


Dengan ketinggian 1,276 meter pastinya Gunung Ledang memberi peluang untuk pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna semulajadi yang cukup indah. Menariknya, kawasan hutan di gunung ini memiliki lebih 100 spesies pokok dan paku pakis yang sukar ditemui. Malah banyak pokok hutan dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk tujuan perubatan tradisional terdapat di sini.


Dalam pada itu, Taman Negara Johor dengan kerjasama resort dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sering mengadakan kembara bagi membersih dan membawa sampah sarap bagi memastikan keadaan persekitaran Gunung Ledang dalam keadaan bersih dan baik sepanjang masa.


Bersesuaian dengan ciri mistiknya yang tidak terungkap, Gunung Ledang menjanjikan pengalaman mengasyikkan kepada pengunjung dengan aktiviti lasak dan pendakian di samping pelbagai program motivasi, bina semangat dan jati diri. Pengunjung juga boleh bermandi manda dan berkelah bersama keluarga tersayang mahupun rakan-rakan di air terjun Gunung Ledang yang bersih dan mempersonakan ini.


Bagi mereka yang ingin bermalam dan menikmati keindahan Gunung Ledang pada waktu malam boleh terus menginap di Gunung Ledang Resort yang pastinya menjamin keselesaan dan ketenangan setiap pengunjung yang berkunjung ke resort ini. Malah pihak resort juga turut menyediakan pakej untuk kesenangan dan keselesaan para pengunjung.


Jika anda impikan percutian yang tenang dan menyeronokkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan pastinya Gunung Ledang adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.

Read Users' Comments (0)