Lost World Of Tambun, Perak



Jumaat, 31 Disember 2010- 12.30 tengah hari

Cuti persekolahan hanya tinggal beberapa hari saja lagi dan esok lembaran baru 2011. Kepada anda yang masih meninjau lokasi untuk bercuti di hujung minggu ini, Explorasi Sana Sini ada tempatnya...Lost World Of Tambun, taman tema yang menerima anugerah tarikan pelancong berinovasi bagi kategori tarikan semulajadi dan Eko-Tourism pada Anugerah-Pelancongan Malaysia.

Terletak di Sunway City Ipoh, Perak. Lost World Of Tambun menjanjikan keseronokan tanpa henti untuk semua peringkat usia. Mempunyai 5 elemen utama iaitu Taman Air, Taman Permainan, Lost World Petting Zoo, Tiger Valley (Lembah harimau) dan yang terbaru Lost World Hot Springs & Spa. Antara taman yang paling disukai oleh anak-anak ialah taman air yang dihiasi dengan lanskap yang cantik dengan deretan pokok kelapa dan pantai yang memutih menambahkan lagi kecantikan Lost World Of Tambun. Mempunyai kolam ombak yang terbesar di Malaysia iaitu jungle wave pool, ianya sesuai untuk pesta, majlis perkahwinan dan sebagainya.

Pelbagai kemudahan yang disediakan di sini seperti tempat meletak kereta, kedai makan, tempat istirehat dan banyak lagi. Dari segi waktu operasi pula dari hari Isnin hingga Jumaat- 11.00 pagi hingga 6.00 petang manakala waktu cuti sekolah pula, 10.00 pagi hingga 6.00 petang termasuk Sabtu dan Ahad. Bayaran masuk dikenakan mengikut kategori iaitu dewasa dan kanak-kanak. Tidak rugi anda datang ke sini kerana banyak lagi tempat yang anda boleh kunjungi dan rasai keindahan alam semulajadi di sini.


Read Users' Comments (0)

Taman Bunga Raya, Kuala Lumpur


Jumaat, 24 Disember 2010- 12.30 tengah hari

Explorasi sana sini untuk minggu ini, anda akan dibawa menikmati keindahan bunga kebangsaan iaitu di Taman Bunga Raya yang terletak berhampiran Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Bunga raya telah dipilih sebagai bunga kebangsaan di negara kita dimana bunga ini melambangkan status kemerdekaan dan identiti negara kita.

Taman Bunga Raya memiliki keluasan 0.9 hektar dan kedudukannya di kawasan berbukit di Taman tasik Perdana yang dikelilingi pokok-pokok, merupakan kawasan yang sesuai untuk pertumbuhan bunga raya. Taman Bunga Raya ini juga terletak berhampiran dengan taman-taman yang lain iaitu Taman Orkid Kuala Lumpur, Taman Burung Kuala Lumpur dan juga berdekatan dengan Memorial Tun Razak.

Untuk pengetahuan anda juga, Taman Bunga Raya ini menempatkan lebih 2500 pokok bunga raya dengan pelbagai warna, bentuk, saiz yang ditanam mengikut spesies dan jenisnya di sepanjang laluan pejalan kaki dan teres bukit. Bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan negara ini juga memiliki nama saintifik iaitu Rosa-Sinensis. Di dalam taman ini juga terdapat kemudahan untuk pengunjung seperti kerusi rehat agar anda dapat bersantai sebentar setelah penat berjalan disekitar taman.

Waktu yang sesuai untuk anda datang ke sini ialah pada waktu pagi kerana suasana persekitaran yang berangin dan nyaman. taman Bunga Raya dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6.00 petang.

Read Users' Comments (0)

Tips Kekal Cergas Ketika Bercuti


Jumaat, 17 Disember 2010 -12.30 tengah hari

Explorasi sana sini minggu ini, akan memberikan tips kekal cergas ketika bercuti ke mana sahaja. Antaranya;

  • Setiap kali melancong, jangan lupa bawa lemon. Menurut "Teresa Cheung's The Lemon Juice Diet", lemon memberikan tenaga serta merta dan mengurangkan rasa ingin makan banyak.

  • Jangan lupa tulis detik indah ketika melancong dalam selembar kertas dan hadiahkannya setiap kali pulang dari melancong berserta ole -ole sebagai kenangan.

  • Bawa barang kesukaan anda seperti bantal busuk atau ipod jika bercadang hendak cuti lama.

  • Lupakan kasut tumit tinggi atau makeup tebal! sekali sekala muncullah dengan wajah semulajadi tanpa secalit mekap.

Read Users' Comments (0)

Bukit Melawati, Kuala Selangor


Jumaat, 10 Disember 2010 -12.30 tengah hari

Masih lagi dalam mood cuti sekolah, kali ini Explorasi Sana Sini akan membawa anda berkunjung ke lokasi bersejarah yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Selangor iaitu Bukit Melawati dan ia juga turut di kenali Bukit Selangor. Lokasi ini pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor iaitu sebelum Sultan Abdul Samad pindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat.

Kedudukan Bukit Melawati cukup strategik kerana terletak di Kuala Sungai Selangor, menghadap laut Selat Melaka dan Sumatera, Indonesia. Anda boleh melihat bagaimana Bukit Melawati sebagai tempat sejarah perjuangan antara penduduk tempatan dengan kuasa penjajah dari Belanda dan British dengan melawat tempat-tempat seperti rumah api hingga makam raja, menara tinjau, rumah api, kubu pertahanan dan batu pancung. Para pengunjung yang melawat ke lokasi tadi akan merasai zaman lampau semasa perjuangan di Bukit Melawati.

Kemudahan tram juga disediakan kepada pengunjung yang datang ke situ. Selain itu, kemudahan gerai makan, tempat letak kereta dan tempat duduk untuk beristirehat juga turut disediakan kepada pengunjung. Tidak rugi rasanya anda berkunjung bersama anak-anak ke Bukit Melawati selain melihat pemandangan yang menarik di situ dan menambah pengetahuan anak-anak tentang sejarah di negara kita.

Read Users' Comments (0)

Bandar I-City, Shah Alam


Jumaat, 03 Disember 2010 -12.30 tengah hari

Kunjungan Explorasi Sana Sini untuk minggu ini, anda akan dibawa ke Shah Alam, Selangor iaitu bandar I-City. Lokasinya terletak di Seksyen 7 di Sungai Rasau, di antara Bandar Baru Klang dan Shah Alam. Tempat ini memang menjadi lokasi pilihan santai pada waktu malam dan mengambil gambar bersama rakan-rakan berlatar belakangkan cahaya yang sangat cantik. Kerlipan cahaya lampu-lampu yang bergemerlapan di I-City Shah Alam sangat memukau mata .

Dibuka pada awal tahun 2010, I-City Shah Alam ialah satu-satunya bandar lampu digital dan taman tema di Malaysia yang hampir keseluruhan tarikan umumnya diperbuat daripada plastik dan lampu LED. Bermula dari pintu masuk, anda akan dapat lihat cahaya lampu yang menerangi dan lebih tertumpu ditengah-tengah ataupun di atas bukit. Di sinilah bandar lampu digital disajikan buat penggemar teknologi berkaitan lampu dan LED. Daripada deretan tanglung, pokok buluh hingga replika flamingo, merak dan pokok ceri, semuanya dihasilkan daripada teknologi yang sama.

Suasana disini sangat menyamankan sehinggakan anda terasa seperti berada di Korea menikmati sonata musim salju. Sambil berjalan beriringan bersama teman di bawah pepohonan di kiri kanan melihat cahaya lampu, anda juga boleh bersantai bersama keluarga melihat perlawanan bola sepak di layar skrin besar terbuka yang terdapat di I-City ini. Anda juga boleh melihat lampu-lampu berirama seperti hibiscus in the Sky yang terkini.

Untuk anda datang ke I-City, Shah Alam dari Ibu Kota Kuala Lumpur anda boleh ikut laluan lebuh raya Persekutuan ke Shah Alam. disepanjang jalan, anda akan melihat papan tanda menuju ke I-City. ambil susur keluar ke tol Batu Tiga. Ikut papan tanda ke I-City. Bayaran tempat letak kereta dikenakan tetapi anda tidak akan berasa rugi datang ke sini kerana ianya sangat berbaloi dengan apa yang anda dapat lihat dan nikmati di sini.

Read Users' Comments (0)