Taman Burung, Kuala Lumpur


Jumaat, 4 Mac 2011-12.30 tengah hari


Minggu ini explorasi sana sini menorakai khazanah dan keindahan yang terdapat di Ibu negara, Kuala Lumpur. Destinasi yang menjadi pilihan kali ini adalah Taman Burung Kuala Lumpur yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur.


Bagi pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas boleh mengambil bas Rapid KL B115 dari Kotaraya ke Jalan Parlimen. Manakala bagi pengunjung yang berkereta serta yang menggunakan perkhidmatan teksi pula boleh memasuki Jalan Parlimen dan terus ke taman burung ini.


Taman Burung Kuala Lumpur ini terletak berhampiran dengan Tasik Perdana Kuala Lumpur. Di sekitar kawasan ini terdapat pelbagai pusat pelancongan lain seperti Taman Rama-rama, Masjid Negara, Taman Bunga Raya, Balai Memorial Tun Abdul Razak dan Planetarium Negara.


Menariknya, taman burung ini merupakan sebuah taman sari burung dan taman tropika khas untuk pencinta-pencinta alam. Di samping itu, ianya dikatakan sebuah taman burung yang terbesar di rantau Asia Tenggara dengan merangkumi kawasan lembah menghijau seluas 3.2 hektar.


Di dalam taman burung ini, lebih 3,000 ekor burung dari 200 spesies ditempatkan di dalam sebuah taman yang indah. Sambil berjalan di taman, pengunjung berpeluang bergambar dengan itik mandarin, burung helang, burung enggang, burung kasawari dan banyak lagi. Dalam pada itu, terdapat juga bilik khas untuk pengeraman telur burung, serta nurseri yang memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat telur di dalam inkubator.


Bagi harga tiket pada hari biasa dan bukan cuti sekolah adalah seperti dewasa RM15 (pemegang mykad) dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah RM 6 manakala pelancong asing dikenakan RM35. Namun begitu pada musim cuti sekolah harganya berbeza iaitu dewasa RM20 (pemegang mykad) dan warga asing dikenakan RM 40. Menariknya diskaun RM 5 diberikan kepada pemegang mykad dan J-kad untuk harga tiket masuk ke taman burung ini.


Jika anda impikan percutian yang tenang dan menyoronakkan bersama keluarga mahupun rakan-rakan pastinya Taman Burung Kuala Lumpur adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi.

Read Users' Comments (1)comments

1 Response to "Taman Burung, Kuala Lumpur"

  1. Rentak Interaktif Kota, on March 3, 2011 at 8:18 PM said:

    Sekiranya ada sebarang penambahbaikan boleh catatkan dlm ruangan ini.

Post a Comment