Taman Negara Malaysia- Pahang



08 Januari 2010 -Jumaat 12.30 tengahari


Tahukah anda, Taman Negara Malaysia dibuka pada 1938/1939 sebagai Taman Negara King George V. Ia kemudian dinamakan sebagai Taman Negara selepas kemerdekaan. Keluasan kawasan Taman Negara ialah 4,343 km².

Taman Negara terletak di antara sempadan 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana masing-masing memiliki kawasan milik sendiri. Taman Negara Pahang merupakan yang terbesar dengan keluasan 2,477 km², diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km², dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km².

Taman ini menjadi sebuah destinasi eko-pelancongan terkenal di Malaysia. Terdapat banyak daya tarikan dari segi geologikal dan biologikal di taman ini. Gunung Tahan merupakan titik tertinggi di Semenanjung Malaysia terletak di Taman Negara, pendaki boleh menggunakan Kuala Tahan atau Merapoh sebagai titik permulaan ekspedisi pendakian itu. Taman Negara mempunyai banyak haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah, rusa, pelanduk, dan seladang. Sungai Tahan menjadi kawasan habitat kepada ikan Kelah, sejenis ikan pertandingan.

Daya tarikan lain boleh ditemui di Kuala Tahan (tempat utama Taman Negara di Pahang) termasuk laluan kanopi,Gua telinga, dan lata Berkoh . Pengunjung dapat menikmati keindahan hutan hujan tropika, kicauan burung, ataupun merentas hutan (contoh: Tenor Rintis) dan pemandangan sungai ketika melalui Sungai Tahan.

Semua pengunjung mesti mendapatkan kebenaran/permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara sebelum menjejakkan kaki ke Taman Negara. Terdapat banyak hostel dan hotel di taman ini.

Pelancong ke Taman Negara juga boleh memilih untuk menyertai aktiviti memancing terutamanya di Lata berkoh dan Sungai Kenyam. Terdapat 300 spesies ikan terutamanya dari keluarga kap seperti ikan kelisa, ikan kelah dan lain-lain lagi banyak terdapat di sungai-sungai di Taman Negara. Pelancong juga boleh menyewa bot untuk aktiviti memancing dan sukan air.


Untuk masuk ke Taman Negara anda boleh menggunakan perkhidmatan keretapi melalui Kuala Tembeling yang dihubungkan dengan Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Bharu (melalui Tumpat) . Keretapi dari stesen-stesen tersebut berhenti di Tembeling Halt, kira-kira setengah jam perjalanan dari jeti Kuala Tembeling dengan menaiki kereta.


Jika anda memandu kenderaan pacuan empat roda, anda boleh menggunakan jalan pembalakan hingga ke Kuala Tahan di mana anda perlu menaiki bot merentas Sungai Tahan untuk memasuki Taman Negara.

Read Users' Comments (0)

0 Response to "Taman Negara Malaysia- Pahang"

Post a Comment